|
|
Monday, August 4, 2008
Another KRU news.. Malay version..
Hey hey... Im here to post another KRU news on the 16th anniversary concert.. But this time its in Malay.. Credits to Berita Harian (Singapore).. Will be back to post soon after i finished my report.. Haha...
SUASANA HANGAT Walaupun kumpulan tiga beradik tidak beraksi, persembahan artis di bawah naungan KRU tetap hebat
Oleh Farid Hamzah
RENTAK muzik yang rancak menghangatkan terus suasana persembahan konsert sempena ulang tahun kumpulan KRU yang ke-16 baru-baru ini.
Apakan tidak, para hadirin yang menyaksikan acara tersebut terpekik-terpukau dan menari terus sepanjang acara selama lebih dua jam itu di Life Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Melihatkan kelincahan para artis menari mengenangkan kembali ingatan wartawan semasa era '90-an ketika kumpulan KRU masih ligat membuat persembahan atas pentas.
Cuma kali ini, kumpulan yang popular dengan lagu-lagu seperti Awas, Di Dalam Dilema, Janji Tinggal Janji, Hanya Kau, Impak Maksima dan Fanatik tidak membuat persembahan.
Terkilan juga hasrat sebahagian penonton termasuk wartawan sendiri melihat ketiga-tiga beradik itu, Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry, tidak beraksi di pentas.
Sebaliknya, mereka memberi laluan kepada para artis di bawah naungan KRU Music Group seperti Adam, Dafi, Sleeq dan The Lima membuat persembahan di acara tahunan itu.
Meskipun tanpa persembahan kumpulan KRU sendiri, sekitar 1,000 penonton yang hadir pada malam itu masih tetap terpukau dengan keseluruhan pertunjukan tersebut.
'Memang saya dan member datang nak lihat KRU buat persembahan, tapi sayangnya mereka hanya di belakang pentas. Tapi show masih tetap best.
'Tetap rancak dengan persembahan para artis lain. Tak sesia datang,' kata seorang penonton yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Shima.
Acara dimulakan dengan video mengenai kumpulan KRU dalam industri hiburan sepanjang 16 tahun lalu dan bisnes yang diceburi mereka kini.
Norman, 36 tahun, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan KRU Studios, membuka tirai acara tersebut dengan ucapan ringkasnya.
'Sekitar 16 tahun lalu kami buat persembahan pertama kami KL, kini kami sambut pula ulang tahun kami ke-16, di sini juga,' ujarnya yang kelihatan berisi sedikit dengan rambut yang menipis.
Persembahan dua lagu oleh pengacara terkenal, Aznil Haji Nawawi, memulakan persembahan konsert itu.
Dengan keletah dan gayanya yang bersahaja, beliau yang juga pelakon dan pelawak mendendangkan lagu-lagu Profesor Klon daripada filem Cicak-Man dan Toyol yang pernah didendangkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Ramai tergelak dengan keletahnya.
Kalau si abang dah memulakan acara dengan memberi ucapan ringkas, adiknya, Yusry, 35 tahun, pula tampil di atas pentas dengan memperkenalkan artis KRU, Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, yang seolah-olah mengajak para penonton menari sama dengannya menerusi lagu dendangannya.
Ditemani dua penarinya, Adam yang terkenal menerusi Akademi Fantasia 2 mendendangkan lagu Robot dengan cukup bertenaga.
Kumpulan yang muncul juara pertama dalam pertandingan Gangstarz, The Lima, pula menambat hati para penonton dengan persembahan lagu-lagu seperti Separuh Masa, Buronan Cinta dan Bujang Lapok.
'Macam Herman Tinolah, seorang penyanyi The Lima, tapi hensem!' pekik seorang penonton wanita mengenai salah seorang anggota kumpulan itu, Bony Adams.
Pastinya kumpulan dari Singapura, Sleeq, yang dianggotai Alif Abdullah dan Ahmad Syarifullah Ahmad - kedua-dua mereka 19 tahun - membanggakan para peminat dengan suara lunak mereka.
Pelajar dari Politeknik Temasek itu mendendangkan lagu- lagu My Spy dan sebuah lagu yang pernah didendangkan KRU, Fanatik.
Dan buat pertama kalinya, kumpulan dari Sweden, Ladylike, yang diwakili empat gadis jelita berambut perang tampil membuat persembahan.
Kumpulan yang dianggotai Valerie Wigardt, Miranda Hortlund, Isabel Filling dan Louise Tomassino itu mendendangkan dua lagu yang dialih bahasa daripada bahasa Melayu.
Ini kali pertama kumpulan di bawah naungan KRU Music Group itu membuat persembahan atas pentas secara bersama sejak ditubuhkan enam bulan lalu.
Lagu Sick adalah lagu yang pernah didendangkan oleh Ari Lasso (Demam), sementara lagu berjudul Dreaming adalah lagu yang dinyanyikan kumpulan Ratu (Teman Tapi Mesra).
Ditemui di akhir acara itu, Norman berkata pihaknya bercadang mengadakan acara sedemikian di Singapura tahun depan sempena ulang tahun kumpulan KRU yang ke-17.
'Kali ini kami tak buat persembahan. Tapi kami tidak menolak kemungkinan kami mungkin akan kembali menyanyi - lagipun kami belumlah tua sangat,' katanya berseloroh. **************************************************** The end.... Back a little later... Loads to tell.. Later dudes...
Peace_Out Ain
14:49 + + Ain + +
(0) RAGED!!!
|